Seseorang yang masuk kepada agama Islam atau telah lahir sebagai seorang muslim wajib bagi dirinya untuk meperolehi keselamatan dan perlindungan dari saudaranya sesama muslim. Muslim adalah bersaudara dan bentuk-bentuk tatacara dalam bergaul sesama muslim tanpa mengira bangsanya, partinya atau kedudukannya adalah seperti yang dijelaskan oleh hadis di bawah :
 
 Dari Abdullah bin Umar radhiyallahu anhu', dari nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam, sabdanya :


"Orang muslim itu ialah orang yang sentosa semua orang islam dari bencana lidah dan tangannya. Dan orang yang Muhajir ( Hijrah ) ialah orang yang pindah dari segala larangan Allah."
(Bukhari No 8)

Seseorang muslim itu wajib menjaga lidahnya dari mencerca,  mengumpat, mentohmah, mengejek, mengatakan perkataan penghinaan seperti bodoh, gila dan sebagainya, mengkafirkan saudaranya tanpa haq yang benar, dan melakukan perbuatan yang boleh mengakibatkan kecederaan seperti memukul atau kecederaan hati dengan perkataan yang mengakibatkan kebencian sesama muslim.

Islam telah meletakkan wajib dalam menjaga persaudaraan sesama Islam.  Ikatan ukhwah sesama Muslim adalah ikatan yang padu dan perpecahan adalah bencana paling besar dalam kehidupan atau kesatuan umat Islam. Sejarah telah menunjukkan bagaimana perpecahan adalah punca-punca utama kemunduran, penaklukan, kezaliman berterusan dan penghinaan kepada umat Islam setelah mencapai zaman kegemilangan.

Malahan Islam telah menetapkan salah satu dari kesempurnaan Iman adalah dengan saling  menjaga hati dan keselamatan saudaranya sebagaimana dijelaskan oleh Hadis:

Dari Anas r.a, dari NabiShallallahu ‘alaihi wa sallam, sabdanya :

"Tidak sempurna iman seseorang kamu sebelum ia menyukai untuk saudaranya ( sesama Islam ) apa yang disukai untuk dirinya sendiri"

(Bukhari 10 )

Seseorang Muslim itu tidak suka dianiaya, dicerca, difitnah, ditohmah, diambil hartanya dengan batil, ditipu dan sebagainya, maka adalah wajib bagi dirinya untuk menjaga lidah dan tangannya dari melakukan perkara-perkara tersebut. Seseorang Muslim juga suka dirinya dilayan dengan hormat, disapa dan diajak berbicara, dibantu ketika susah dan sebagainya maka dia harus sentiasa melakukan perkara tersebut kepada saudaranya.

Dizaman mutakhir ini, berlaku fitnah-fitnah keatas umat Islam kerana merebut kekuasaaan pemerintahan. Dimana sistem zaman moden yang berasaskan demokrasi atau kerajaan rakyat yang memberikan kebebasan atau peluang kepada sesiapa sahaja untuk memerintah negara apabila dia berjaya dipilih secara kelebihan majoriti telah banyak memecahkan kesatuan umat Islam. Inilah satu bencana kepada umat ini dan mereka menghalalkan apa yang telah dilarang oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam.

Telah diputuskan oleh ulama bahawa kaedah seperti ini tidak syarie kerana terkandung didalam apa yang dikatakan kebebasan bersuara untuk menghentam, menyerang atau membuka pekung individu lain dalam usaha untuk memenangi majoriti. Atau penjelasan yang lebih jelas, berusaha untuk memburukkan pihak lain semata-semata untuk menjadikan rakyat benci kepada golongan lawan mereka. Ini adalah cara yang tidak Islam dan padanya terdapat bahaya perpecahan  yang cukup besar.

Situasi ini adalah bertentangan dengan apa yang dijelaskan oleh hadis diatas dimana seseorang Muslim itu adalah aman dari lidah dan tangannya. Tetapi didalam merebut kuasa pemerintahan, tidak wujud keadaan dimana seseorang muslim itu selamat dari lidah dan tangannya. Maka cara ini terang tidak Islam. Islam telah menetapkan jika ada perselisihan perlu di wujudkan muzakarah dan pengambilan kuasa pemerintahan adalah dengan jalan yang tidak wujudnya perpecahan.

Hadis tersebut juga menjelaskan tentang hijrah zaman ini adalah dengan meninggalkan amalan buruk dan diganti dengan amalan makhruf.Mungkin adalah sangat baik seorang perokok meninggalkan tabiat rokoknya dan diganti dengan amalan baik untuk menjaga kesihatan dan wang yang dahulunya dibelanja untuk rokok boleh disedekahkan. Pahala sedekah itu adalah cukup besar yang harus direbut.

Juga dalam perkara wajib seperti solat, jika selalu meninggalkan solat maka berhijrahlah dengan melakukan solat kerana solat yang dilakukan dengan sempurna akan menjamin kita jauh dari melakukan maksiat. Jika dahulu suka kepada hiburan muzik, maka hijrahnya adalah dengan selalu mendengar Al-Quran dan bacaan terjemahannya kerana ia dapat melembutkan hati disamping mempelajari Ilmu dalam rangka mendalami Agama Islam. Mendalami itu maksudnya untuk memperolehi kefahaman yang jelasa dalam perkara Agama supaya amalan dan Manhaj kita tidak lari dari Alquran dan Sunnah dan jauh dari segala kebidaahan.

Juga apabila melibatkan kesatuan kaum Muslimin, seharusnya kita memikirkan bagaimana kita boleh saling bekerjasama dalam merealisasikan agenda kita dengan bekerjasama sesama Islam. Musuh-musuh Islam memang menginginkan perpecahan berlaku dalam masyarakat Islam kerana Umat Islam akan mudah diperkotak-katikkan apabila mereka berada dalam perpecahan. Dan ini adalah bencana paling besar apabila kita dapat ditakluk dengan mudah kerana perpecahan sesama kita. Justeru itu adalah baik kita meninggalkan yang merugikan kita dan mengambil jalan yang menguntungkan kita di dunia dan di akhirat. Sebenarnya perpaduan adalah solusi kepada segala permasalahan. Segala masalah seperti korupsi dan sebagainya boleh diselesaikan dengan kerjasama dan mengekalkan perpaduan sesama Islam..

Artikel lain....