Cinta kepada Allah subhanhu taala dan rasulullah shallallahu alaihi wa sallam termasuk dalam tiga tanda manisnya Iman seperti hadis dibawah.

Dari Anas Radhiallahu anhu, dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
"Ada tiga perkara, bila terdapat dalam diri seseorang maka dia akan merasakan bagaimana manisnya Iman  (iaitu ) :


 (1) Mencintai Allah dan Rasulnya melebihi daripada yang lain-lain. 

(2) Mencintai orang lain kerana Allah semata-mata.

 (3) Benci menjadi kafir kembali setelah Allah melepaskannya dari kekafiran itu, sebagaimana bencinya akan dilemparkan ke neraka." ( Muslim 34 )

 Riwayat Lain :

Dari Anas Radhiallahu anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
"Belum sempurna Iman seseorang kamu sebelum ia mencintaiku, melebihi cintanya kepada anaknya, kepada babaknya dan kepada manusia seluruhnya" ( Muslim 35 )

Cinta kepada Allah harus digabung juga oleh rasa takut, takut akan kemurkaan dan azabnya dan rasa harap, sentiasa mengharapkan keampunan dan dibalasi syurga. Diantara tanda-tanda cinta kepada Allah adalah dengan tidak mengadakan sekutu baginya atau syirik kepada Allah, mentaati perintah dan larangannya dan sentiasa benci kembali kepada maksiat dan kekufuran sepertinya benci dan takutnya dilempar ke neraka.

Mencintai orang lain kerana Allah semata-mata dan bukan kerana mengharap sokongan, jawatan, kekayaan dan sebagainya. Di syariatkan juga menjauhi ahli maksiat kerana Allah. Bukanlah kita membenci orang itu kerana kekurangan dalam diri tetapi kita membenci maksiat yang dilakukan dan bimbang akan tercebur melakukan maksiat itu kerana dipengaruhi. Cerminan akhlak seseorang adalah dengan memerhati dengan siapakah dia suka bergaul! Oleh itu para ibubapa harus memperhati pergaulan anaknya kerana ia merupakan petanda akhlak anaknya. Jika kecintaannya hanya unttuk bergaul dengan orang yang baik, rajin berusaha dan menjauhi maksiat maka dia harus diberi galakan tetapi jika sebaliknya maka ia adalah petanda merah yang perlu diberi perhatian.

Mencintai Rasululullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam adalah menetapkan bahawa rasulullah adalah hamba Allah dan pesuruhnya, membenarkan apa yang dibawa dan mengamalkannya dan menjauhi bidaah. Sesuatu yang tidak datang dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam adalah perkara bidaah dalam beragama dan wajib kita menghidari. Sentiasa ittiba atau menuruti Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam. Cinta kepada Rasullulah Shallallahu ‘alaihi wa sallam adalah cinta yang dilandasi syariat dengan tidak berlebihan dalam mengagungkannya.

Hadis Lain....