Pages

Kewajipan untuk tetap dalam jemaah

Ini hadis yang saya tujukan kepada seluruh muslimin dan muslimat di Malaysia. Kini kaum muslimin di seluruh dunia berada di dalam fitnah yang cukup besar apabila ia menyentuh soal politik negara. Saya membawa hadis ini sebagai pedoman mengapa pentingnya jika bersatu didalam jemaah kaum muslimin. Hampir keseluruhan negara Islam sunnah di timur tengah menghadapi huru-hara akibat demostrasi
penentangan rakyat keatas kerajaan yang memerintah. Perkara yang hampir sama telah berlaku di NEGARA kita dan apakah petunjuk Rasulullah saw bagi menghadapi fitnah sebegini. Di sini dibawakan hadis yang diriwayatkan  dari sahih Muslim. Hadis no 1814.

Dari Ibnu Hudzaifah ibnu Al-Yamani r.a, katanya" Biasanya orang banyak bertanya kepada Rasulullah saw tentang kebajikan. Tetapi aku bertanya kepada baginda tentang kejahatan; kerana aku takut kejahatan itu menimpaku. Lalu aku bertanya ,
" Ya Rasulullah ! Kami dahulu berada dalam kejahilan dan kejahatan. Kerana itu Allah menurunkan kebaikan ( agama ) ini kepada kami. Mungkinkah sesudah ini timbul lagi kejahatan?"

Jawab Rasulullah " Tentu"

Tanyaku " Sesudah itu mungkin pulakah datang lagi kebaikan?"

Jawab Rasulullah " Ya ! tapi sudah cacat"

" Apa cacatnya?" Tanyaku.

" Suatu kaum membuat peraturan ( perundangan ) di luar sunnahku dan memimpin tanpa hidayahku. Engkau mengerti tentang kebijaksanaan mereka dan tidak menyukainya"

"Sesudah kebaikan itu, timbul lagi kejahatan" Tanyaku.

"Ada. Iaitu orang-orang yang selalu memanggil di pintu neraka, lalu siapa yang memenuhi panggilannya ke dalam neraka itu " 

Aku tanya kembali" Ya Rasulullah! Tunjukkanlah kepada kami ciri-ciri mereka"

Jawab Nabi saw " Baik! iaitu orang yang kulitnya sama dengan kita dan mereka berbicara memakai lidah kita   ( dinukilkan sebangsa, seagama dan berhujah dengan hadis )"

Tanyaku " Bagaimana petunjuk anda seandainya aku menemui hal yang demikian"

Jawab nabi saw " Tetaplah kamu bersama dengan jemaah dan pemimpin mereka ( kaum muslimin )"

Tanyaku " Jika tidak ada jemaah dan pemimpin"

Jawab Baginda " Tinggalkanlah kumpulan-kumpulan itu semua, sekalipun engkau akan memakan akar-akar kayu, namun engkau tetaplah dengan pendirianmu itu"

Petunjuk dari hadis.
Hadis adalah bahagian daripada agama. Didalam Al-Quran telah disebutkan bahawa kita diberi dua iaitu Kitabullah dan Al-Hikmah. Ulama menafsirkan Al-Hikmah adalah sunnah Rasulullah. Tidak boleh diasingkan antara keduanya tetapi wajib berpegang dengan keduanya kerana ia adalah sumber hukum dan petunjuk. Hadis diatas adalah petunjuk Rasulullah saw tentang keadaan umat baginda selepas kewafatannya.

Hubungkaitnya dengan kehidupan kita.
Disini lebih elok saya fokuskan dengan sejarah orang Melayu. Penjelasan dengan kebenaran hadis ini dari sudut sejarah Islam memang banyak tetapi cukuplah kita mengambil iktibar darinya untuk kaum muslimin disini. Sejarah adalah ilmu yang cukup baik dan tidak boleh ditutup. Walau ditutup , kebenaran tetap akan muncul. Dahulu nenek moyang kita berada dalam kesesatan dan kejahatan akibat dari kejahilan. Dengan kedatangan Islam, kita berubah menjadi satu tamadun baru yang disegani. Tidak ada bangsa didunia yang hampir 100 peratus memeluk agama ini selain dari Puak arab di Hijaz. Bangsa melayu telah memeluk agama ini dan mudahnya menerima terus agama ini. Bermula dari bangsa melayu champa dan seterusnya bangsa Melayu di semenanjung. Kesultanan Melaka menjadi khalifah yang pertama.


Timbulnya kejahatan setelah perpecahan
Perpecahan pertama berlaku di Melaka hingga akhirnya tewas kepada Portugis yang dalam rangka memerangi kerajaan Islam. Perpecahan seterusnya berlaku antara Acheh, Johor dan Pahang yang diketahui bersaudara. Diceritakan satu kisah, tentera laut Acheh dibenamkam di laut Johor oleh pasukan bala tentera Johor. Johor Lama sebenarnya adalah negara kota dan memiliki pasukan tentera laut terkuat di masa itu dengan lebih 800 buah meriam dan lebih 100 buah kapal perang besar ditambah lagi dengan lebih seribu kapal kecil. Ini membimbangkan portugis yang sentiasa mencari jalan memusnahkan kubu baru orang Islam. Tetapi dengan kesibukan perang sesama sendiri telah menyelamatkan Portugis hingga mereka kekal di Melaka selama lebih 130 tahun. Padahal jika dinilai dari segi kekuatan, Johor mampu merampas kembali Melaka namun akhirnya Kerajaan Johor Lama dimusnahkan secara total oleh Portugis dengan bantuan orang Melayu sendiri. Seterusnya kita berada dalam kejahatan penjajahan, kejahilan dan perpecahan kepimpinan kita yang mengakibatkan kita terus dijajah selama hampir 500 tahun. Padahal Islam telah menjadikan bangsa Melayu antara yang terkaya dan terkuat di Asia sehingga di hormati di China  dan hampir seluruh rantau Asia.


Datangnya kebaikan setelah kejahatan
Era kejahatan atau kegelapan dan penindasan terhadap kaum muslimin mula berakhir berikutan kebangkitan orang Melayu menuntut kemerdekaan. Selepas penjajahan Jepun, keyakinan orang Melayu bertambah. Semangat semakin kuat. Sebelum penaklukan Jepun, menurut orang tua saya, orang Melayu memang sengaja dibiarkan miskin dan tiada pendidikan. Keinginan untuk belajar kuat tetapi disebabkan faktor kemiskinan maka tidak ada apa yang boleh dilakukan. Cuba bayangkan hasil jualan getah dihadkan kepada 3 sen sehari dan ianya hanya cukup untuk membeli makanan pada hari itu. Syarikat milik penjajah yang menanam getah pada masa itu boleh menjual pada harga yang mahal dan boleh dijual secara pukal. Dari segi pendidikan, orang tua saya hanya dapat bersekolah sehingga darjah dua sahaja. Pada masa itu darjah dua hanya membolehkan kita membaca, mengira dan menulis.


Kini selepas merdeka, semua orang dapat peluang belajar. Dahulu ayah dan ibunya merempat tetapi kini anaknya orang terbilang. Dahulu tiada tanah, kini dapat tanah. Ayah saya mendapat tanah setelah menyertai Felda. Kini dia hanya duduk di rumah sebagai orang pencen tetapi hasil kelapa sawit tetap masuk setiap bulan dengan pendapatan lebih 3000. Ini adalah akibat dari kesan kenaikan harga minyak sawit. Hutang tiada, kerja dirumah sahaja dan duit masuk setiap bulan. Jauh bezanya dari kehidupan sebelum merdeka. Adakah kita berada dalam kebaikan? YA! kita berada dalam kebaikan. Masjid pun semakin bertambah. Sekolah agama pun bertambah. Di kawasan perumahan saya tinggal, menurut bancian yang telah dibuat menunjukkan jumlah penduduk muslim kurang dari 70 buah rumah dari lebih 400 buah rumah. Kami adalah golongan minoriti disini tetapi boleh buat surau yang cantik dan luas. Tiada bantahan dan diberi pula peruntukan. Orang bukan Islam kadang kala datang untuk bermasyuarat dan berbincang tentang masalah masyarakat dan sebagainya. Di kawasan saya tinggal, boleh dikatakan kawasan perumahan yang ada penduduk Melayu walaupun minoriti tetapi mempunyai surau untuk mereka beribadat. Tidak ada gangguan atau bantahan.


Adakah kita berada dalam kebaikan? YA! kita berada dalam kebaikan. Kita boleh melakukan solat, boleh berhari raya, berpuasa, dan menunaikan haji dengan mudah. Negara Malaysia telah menubuhkan tabung haji. Di negara lain, rakyat mengalami kesukaran untuk menunaikan Fadhu Haji dan Umrah kerana tiada badan yang menguruskan haji tetapi Malaysia ada. Kita boleh pergi haji dan umrah sebanyak yang mampu. Cukup duit..... jalan. Masjid pun banyak mengadakan aktiviti hampir setiap hari. Hanya nak pergi atau tidak sahaja. Makanan pun banyak dan sudah berjaya membuncitkan rakyat Malaysia. Ada masyarakat didunia ini yang buncit kerana tidak makan tetapi lain di Malaysia. Adakah kita berada didalam kebaikan? YA! kita ada semua yang tidak ada pada orang lain. Orang lain datang untuk mengambil sedikit kekayaan kita. Dahulu tak pernah jumpa gagak hitam ( orang Afrika ). Kini boleh bersembang. Kita boleh mengamalkan agama ini dengan lebih baik berbanding sebelum merdeka. Sebelum merdeka, pentadbirannya british dan undang-undang peraturannya mengikut mereka. Tidak boleh pakai tudung. Kini hampir keseluruhan kakitangan kerajaan wanita bertudung. Polis, askar, jururawat semuanya bertudung. Hanya nak pakai atau tidak. Itu sahaja. Hari raya dan puasa, ada penyimpan mohon besar umum di TV. Ada badan kajian falak Islam yang setiap hari mengira dan menentukan tarikh. Termasuk mengira bilakah gerhana kerana kita disunatkan solat gerhana. Adakkah kita berada dalam kebaikan. YA! kita berada dalam kebaikan.

Namun, tetapinya ADAKAH KERAJAAN KITA MENURUTI SUNNAH? Jawapannya tidak kerana demokrasi adalah sunnah barat. Sekular adalah agendanya barat dan yahudi. Undang-undang kita adalah cedokan undang-undang barat. Adakah kita suka? Bagi seorang Islam yang menuruti Sunnah sudah tentunya tidak akan bersetuju dengan sistem sebegini. TETAPI, Rasulullah saw telah menyebutkannya didalam hadis beliau seperti diatas bahawa kita akan menerima bentuk pemerintahan seperti ini. Setelah kejahatan, akan datang kebaikan tetapi sudah cacat. Apakah kecacatanya? Segolongan manusia akan memimpin dan membuat perundangan dengan tidak mengikuti hidayah Rasullullah saw. Tetapi kita memahami kebijaksanaan mereka dan mengakuinya. Dan kita tidak suka bentuk sistem pemerintahannya. Adakah Rasulullah mengatakan kita tidak berada dalam kebaikan.? Tidak, kita berada dalam kebaikan. Kita sejahtera. Ada pekerjaan, pelajaran, perniagaan dan boleh beramal dengan mudah. Azan boleh dikuatkan tanpa protes. Semuanya baik. Perlu difahami bahawa tidak ada perintah rasulullah saw dalam hadis baginda untuk kita menentang pemerintah yang mengambil sistem pemerintahan dan perundangan selain dari Sunnahnya. Tidak ada sama sekali. Tidak pernah Rasulullah saw mengatakan penggallah leher pemimpin-pimimpin yang tidak mengambil sunnahku. Jika ada para sahabat adalah orang pertama yang akan melaksanakannya. Sudah tentu, Yazid bin muawiyah adalah orang pertama yang kena penggal kepalanya. Imam Ahmad akan memimpin bala tentera untuk memusnahkan pemerintah yang mengatakan Al Quran itu makhluk. Ianya hanya melainkan terdapat kekufuran ATAU KEKAFIRAN yang jelas dari pemerintah yang kita dapat buktikannya di hadapan Allah azzawajala kelak. Maknanya kerajaan telah kafir sebagaimana Turki ketika Attartuk mengambil pemerintahan.  

Sudah kebaikan akan timbul kejahatan.
Hadis ini adalah panduan untuk kita kekal dalam jemaah kaum muslimin. Oleh itu kejahatan yang dimaksudkan adalah penyeru-penyeru kepada perpecahan. Mereka adalah orang yang sebangsa dan seagama dengan kita. Berhujah dengan hadis sepertimana kita berhujah. Tetapi mereka hanya tidak lebih dari membawa kepada permusuhan dan perpecahan. Minta maaf, kerana saya terpaksa menimbulkan masalah ini kerana perpecahan umat Islam adalah lebih besar mudharatnya dari kena Tsunami. Kita tidak mahu dilemahkan lagi akibat dari perpecahan. Sejarah telah menunjukkan bukti-bukti kesan akibat dari perpecahan. Kita harus muhasabah diri dan melihat kebenaran agama ini berdasarkan petunjuk Rasulullah saw. Tidak pernah rasulullah menyeru untuk menentang pemerintahan yang diterajui oleh orang Islam walaupun tidak menuruti sunnahnya. Walaupun pemerintah itu zalim, tetapi Rasulullah saw tetap tidak membolehkan kita menentang pemerintah sebegini. Apabila kita membolehkannya , maka kita sudah termasuk kedalam pemikiran khawarij. Menentang sekular sebenarnya mempunyai kaedah yang halus dan bukan jalan penentangan atau peperangan. Tetapi jalan mengikuti sunnah rasulullah saw.


Saya ingin fokuskan kepada maslahat kaum muslimin. Apabila kaum muslimin berpecah kepada dua kelompok. Kedua-dua pihak mendakwa dia lebih Islam dan lebih baik berbanding pihak yang berlawanan. Jika dahulu kaum muslimin hanya memilih satu kumpulan besar sahaja sebagai pemerintah. Tetapi kini telah berpecah kepada dua bahagian. Adakah kedua-duanya akan mendapat majoriti di Parlimen? Adakah kedua-dua pihak boleh memperoleh mandat kekuasaan dengan majoroti 2/3. Sudah tentu tidak dan negara akan berada dalam kerajaan campuran. Bagaimana dengan pihak yang bukan Islam? Jika mereka mendapat majoriti dengan hampir 100% menyokong mereka, sudah tentu mereka lebih berkuasa di Parlimen. Suara mereka lebih jelas. Keadaan ini sudah tentu tidak baik kepada orang Islam kerana perpecahan ini akan mengundang mereka yang sentiasa mengintai peluang untuk menguasai kerajaaan dari tangan orang Islam. Saya utarakan disini kerana ia adalah maslahat kaum muslimin. Rasulullah SAW bersabda bahawa pemimpin itu adalah umpama perisai. Oleh itu perjuangan pemimpin adalah mempertahankan hak kita. Jika dah berpecah, maka kekuatan kepimpinanan akan menjadi lemah dan ini akan memudaratkan kaum muslimin. Oleh itu lebih besar dosanya perpecahan berbanding dengan memerintahan tidak ikut sunnah. Sekarang ini orang Islam masih mempunyai kuasa majoriti. 


Baru-baru ini, saya terbaca satu artikel dari akhbar internet milik luar negara yang mengatakan negara ini tidak adil. Ini disebabkan pihak kerajaan menghalang kemasukan kitab injil berbahasa melayu. Apa tujuannya memasukkan kitab injil berbahasa melayu, sedangkan majoriti umat Islam adalah melayu. Sepertinya ada agenda disebalik ini. Alhamdulillah kerajaan ini masih mempertahankan untuk tidak membenarkan kitab tersebut yang berjumlah puluhan ribu dan mungkin ratusan ribu untuk dibawa masuk ke negara ini. Maknanya kerajaan ini masih mempertahankan umat Islam. Kita boleh melakukannya apabila kita adalah majoriti. Jika kita berpecah dan orang lain majoriti, adakah kita boleh melaksanakannya? Oleh itu perpecahan membawa mudharat yang besar dan dosa yang cukup besar. Merujuk kepada hadis diatas, orang yang menyeru ke pintu neraka adalah mereka yang menyeru kepada perpecahan dengan menggunakan hujah ahlus sunnah atau hujah agama dan hujah  rakyat. Rakyat kata tol mahal, minyak mahal, subsidi potong, kerajaan tidak melaksanakan hukum Islam dan isu ini dibawa oleh mereka supaya rakyat menyokong mereka. Tetapi hakikatnya adakah mereka boleh melakukan yang lebih baik dari ini? Belum tentu kerana mereka belum ada pengalaman. Melantik mereka yang tidak ada pengalaman dalam pentadbiran negara yang kompleks pada zaman ini ada juga mudharatnya. 

Adakah mereka benar-benar memperjuangkan Islam sebagaimana di laungkan. Video dibawah mungkin boleh dijadikan bukti. Saya minta maaf kerana terpaksa bawa video ini.


Kini mereka juga mengatakan musuh mereka adalah pemimpin yang memerintah tetapi berkerjasama dengan mereka yang bukan Muslim. Rakan kerjasama mereka atau bukan muslim  tidak pernah menyokong pelaksanaan negara Islam sebagaimana yang telah dilaungkan mereka. Oleh itu mereka menurunkan wadah perjuangan mereka kepada negara kebajikan untuk selaras dengan dasar perjuangan rakan bukan Islam mereka. Dan mereka mengatakan kerjasama tahaluf mereka dengan bukan Islan adalah dibolehkan manakala kerjasama tahaluf kelompok yang satu lagi adalah haram. Malahan mereka telah mengkafirkan pihak yang satu lagi. Mereka telah mengatakan pihak yang satu lagi zalim. Saya masih tidak faham bagaimana mereka boleh keluar dengan hujah sebegini padahal mereka adalah orang yang sangat fasih dengan Islam. Apakah kerana tujuan politik maka mereka mengadai prinsip perjuangan asal mereka? Baru-baru ini pemimpin mereka yang merupakan ahli agama terkemuka telah menyertai perhimpunan yang diharamkan. Mematuhi perintah dari pemerintah adalah wajib dalam perkara makhruf walaupun kita tidak suka atau bersetuju dengan pemerintah itu. Bagaimana seorang ulama boleh hadir dalam perhimpunan tersebut dan dicadangkan oleh seorang bukan ISLAM yang menyokong pemurtadan orang Islam iaitu dalam kes lina joy. Beliau juga salah seorang penganjur IFC. Apakah yang mereka perjuangkan sebenarnya? Ulama yang tidak menyokong perhimpunan haram tersebut, dicerca dan dimaki walaupun mendatangkan hujah yang jelas dari hadis dan ayat Al-Quran. Kononnya mereka ini pro-kerajaan. Apakah perjuangan mereka ini sebenarnya? Adakah atas kerana agama atau kerana perpecahan? 

Sebenarnya seorang ulama wajib menjadi penasihat kepada kerajaan. Ini adalah perintah Rasulullah saw. Menasihati pemerintah dengan tidak secara terang-terangan. Perjuangan Islam sebenarnya adalah menyeru manusia kepada mentauhidkan Allah swt. Dalam sejarah perjuangan dakwah nabi dan rasul, mereka menyeru umat kepada mentauhidkan Allah swt. Nabi musa diperintah bertemu dengan firaun untuk menyeru kepada mentauhidkan Allah swt. Tidak pernah Nabi Musa diperintahkan untuk memimpin orang yahudi memerangi Firaun tetapi diperintah untuk berdakwah kepada firaun. Ini adalah perjuangan Islam sebenarnya . Bukan berkempen menentang kerajaan dengan harapan bila menang kita akan dapat melaksanakan Islam. Adakah mereka tidak akan mendapat penentangan dari orang bukan Islam dan orang Islam sendiri? Sehingga akhirnya mereka diundi jatuh dan kelompok lain mengambil pemerintahan yang mungkin bukan orang Islam. Tetapi jika mereka berdakwah menyeru kepada Islam dan pemimpin menerima mereka. Akhirnya seluruh umat manusia menerima Islam maka ini adalah kemenangan. Saya bawakan disini maksud surah A-Nasr.
"Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan.(1) Dan kamu lihat manusia masuk kedalam agama Allah dengan berbondong.(2) Maka bertasbihlah memuji tuhanmu dan mohonlah ampun kepadanya, sesungguhnya dia maha penerima taubat (3) "

Makanya kemenangan hanya akan dicapai dengan pertolongan Allah swt dan orang masuk dan kembali kepada Islam seluruhnya dan bukannya berjaya melaksanakan daulah Islamiah tetapi rakyatnya ramai yang bukan Islam dan menentang Islam. Ini adalah hakikat dan untuk mencapai tujuan ini hanya dengan menuruti sunnah rasulullah saw. Berdakwah dan terus berdakwah dan orang yang besar syahidnya adalah apabila dia menasihati pemerintah kemudian pemerintah itu membunuhnya. Di Malaysia ini mustahil akan berlaku.

Bersatulah dalam jemaah kepimpinan kaum muslimin.
Bahagian yang terakhir dari hadis diatas adalah perintah untuk bersatu di bawah kepimpinan kaum muslimin seperti yang ada sekarang. Tidak salah menyokong pemerintah sekarang demi maslahat ummat.

Sekian sahaja tulisan saya, dan saya mohon keampunan kepada Allah swt, segala yang baik adalah darinya dan segala yang buruk adalah kesilapan dari saya. Saya memohon maaf kepada pembaca jika ada yang tersentuh hati. Niat saya adalah supaya kita kembali kepada sunnah dan tidak menuruti sunnah barat dalam memperjuangkan Islam dan supaya tidak ada perpecahan berlaku dikalangan umat Islam di Malaysia yang boleh membawa mudharat kepada diri dan turunan kita. Kita sebenarnya berada didalam fitnah yang cukup besar kerana melibatkan masa depan Umat Islam. Tidak dapat membezakan mana satukah yang benar dan salah. Berada di dalam keadaan dimana kita tidak dapat membezakan diantara terang dan gelap. Orang menjual agamanya demi kepentingan duniawi.  Insyaallah, mohon sebarkan kepada rakan-rakan samada rakan facebook atau twitter atau lainnya sebagai amalan sedekah. Sesungguhnya nasihat itu adalah salah satu dari sedekah. 

Sila Baca: